SEMINAR JAWI KEBANGSAAN

SEMINAR Kebangsaan Tulisan Jawi 2008 berlangsung 25-27 Ogos 2008 sudah melabuhkan tirainya. Program yang telah diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam dirasmikan oleh YTM Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibnu Tunku Syed Idrus al-Qadri.

Beliau ialah waris ketujuh dianugerahkan gelaran Tunku Besar Tampin. Gelaran ini adalah eksklusif untuk keluarga dan keturunan Syed Syaaban dan Tunku Syed Razman, ialah anakanda kepada Tunku Dato’ Syed Idrus.

Kedudukan Tunku Besar Tampin dalam jenjang pentadbiran adat di Negeri Sembilan,  hanyalah sebagai salah seorang ahli penuh Dewan Perundangan dan Keadilan Negeri Sembilan yang dipimpin Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.”Ahli-ahli lain termasuklah Undang Yang Empat dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Selain tokoh perasminya yang menarik dengan dialek dan pepatah negeri, ada beberapa catatan menarik lain dalam program ini.

1. Persembahan montaj dan pelancaran buku. Montajnya penuh dengan kesilapan ejaan Jawi. Saya kira kesilapan tersebut tidak disengajakan. Puncanya, tiada latihan sebelum perasmian. Kes-kes seperti ini sering kali berlaku. Perisian Jawi dalam komputer riba tidak selaras dengan milik urus setia atau pihak hotel.

2. Kehadiran peserta. Mujur majlis perasmian, tetamu yang datang agak mewah. menjelang tengah hari, dewan sudah miskin dengan peserta. Tambah membebankan lagi tentunya bayaran RM400 yang dikenakan kepada peserta perseorangan, menyusutkan lagi jumlah. Yang tidak menjadi peserta berpusu-pusu pulang setelah kenyang.

3. Jawi dan Pembentangan Selari. Sudahlah Jawi ramai yang tidak peduli. Lebih menakjubkan, program Jawi seperti ini dibuat pembentangan selari. Maknanya, satu masa tiga sesi pembentangan serentak untuk memungkinkan 50 kertas kerja disampaikan. Maka Kuantiti melebihi kualiti.

Advertisements