JAWI DI JIWA BUKAN DI PAPAN TANDA

SUDAH jauh tulisan Jawi melangkau sejarah. Kini hanya mampu menempek separuh dada kita di papan tanda jalan dan lebih baik sikit tingginya terpaksa mendongak melihat martabat Jawi di papan-papan iklan atau papan tanda nama kedai.  

Puncanya tulisan Jawi tidak dipaterikan di jiwa kita. Mohon ampunlah kepada Tuhan dek dosa Melayu kita yang selalu lupa itu.  Petikan di bawah oleh Utusan Malaysia 30 Oktober (gambar juga), harus menjadi iktibar kepada kita. – al-kurauwi.

Teruskan membaca JAWI DI JIWA BUKAN DI PAPAN TANDA

TULISAN JAWI DI PLUS

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Langkah Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang meletakkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dalam tulisan jawi di plaza-plaza tolnya di seluruh negara perlu dikekalkan.

Pejuang bahasa Melayu, Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, langkah PLUS yang memilih tulisan jawi untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengguna lebuh raya patut dipuji.

”Saya berharap langkah berkenaan tidak hanya bermusim seperti pada sambutan Aidilfitri sahaja.

”Tulisan jawi patut diperluaskan penggunaannya pada papan tanda yang terdapat di sepanjang lebuh raya PLUS,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abdul Latiff, plaza tol merupakan lokasi yang paling sesuai untuk mempromosikan tulisan jawi kerana lebuh raya digunakan oleh ribuan pengguna setiap hari.

”Langkah PLUS juga wajar dicontohi oleh syarikat korporat lain kerana ia membantu mengekalkan warisan Melayu yang semakin kurang digunakan.

”Lokasi lain yang patut menggunakan tulisan jawi ialah laluan Touch n Go iaitu menggunakan tulisan jawi yang menyatakan Sentuh dan Lalu,” jelasnya.

Kata Abdul Latiff, tulisan jawi tidak harus dipinggirkan dalam kemajuan penggunaan teknologi.

”Sebaliknya tulisan jawi harus dikekalkan dan digunakan seiring dengan pembangunan dan kemajuan bagi mengekalkan jati diri dan warisan Melayu,” jelasnya.

Tahniah PLUS. Walaupun kecil tetapi lebih baik menjadi pemula daripada tiada langsung usaha! Sumber berita Utusan Malaysia 13 Oktober 2008 – al-Kurauwi

KURSUS PERKAEDAHAN JAWI DI IPPM, MELAKA

INSTITUT PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU (IPPM) di bawah jabatan Pendidikan Islam dan Moral menganjurkan  Kursus Perkaedahan Jawi untuk guru-guru j-QAF Negeri Melaka. Pada 15 September 2008 bertempat di Dewan Seri Melor, Anjung Hikmah. 

Puasa-puasa ni, saya berbesar hati memandu ke Melaka, mungkin ramai sahabat-sahabat Melaka yang seuniversiti di sana.

TULISAN JAWI DIPERTIKAI?

Biar saya beritahu anda kenapa tulisan Jawi tercatat di papan tanda jalan tersebut. Biar saya beritahu kalau anda tidak tahu sejarah (baca: buta). Tulisan Jawi adalah salah satu tulisan terawal yang pernah ditemui di rantau ini.

Tulisan ini diterima pakai dan berkembang pesat sejak zaman Kerajaan Islam Pasai yang kemudian digunakan pula oleh Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Penemuan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M menunjukkan nilai sejarah tulisan ini, berbanding tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Tulisan Jawi telah menjadi mangsa sekularisasi selepas kemerdekaan. Tahukah anda, semasa British memerintah pun tulisan Jawi masih merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia misalnya tertulis dalam abjad Jawi.

Jadi yang sakit hati sangat dengan tulisan Jawi kenapa? Tulisan Jawi telah lama wujud dalam tamadun di sekitar gugusan kepulauan melayu iaitu sekitar abad ke 10 Masehi atau 3 Hijrah.Tulisan inilah yang membangunkan tamadun melayu. Tulisan rumi hanya diterima meluas selepas perang dunia kedua sahaja.

Tulisan Jawi sudah ada 700 ratus tahun di sini. Tidakkah biadab namanya mempertikaikan budaya saya yang berusia selama itu?

Artikel di atas ialah luahan saudara Faisal Tehrani dalam blognya Biar Saya Beritahu Anda Kenapa Tulisan Jawi Tercatat di Papan Tanda Jalan Tersebut

SEMINAR JAWI KEBANGSAAN

SEMINAR Kebangsaan Tulisan Jawi 2008 berlangsung 25-27 Ogos 2008 sudah melabuhkan tirainya. Program yang telah diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam dirasmikan oleh YTM Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibnu Tunku Syed Idrus al-Qadri.

Beliau ialah waris ketujuh dianugerahkan gelaran Tunku Besar Tampin. Gelaran ini adalah eksklusif untuk keluarga dan keturunan Syed Syaaban dan Tunku Syed Razman, ialah anakanda kepada Tunku Dato’ Syed Idrus.

Kedudukan Tunku Besar Tampin dalam jenjang pentadbiran adat di Negeri Sembilan,  hanyalah sebagai salah seorang ahli penuh Dewan Perundangan dan Keadilan Negeri Sembilan yang dipimpin Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.”Ahli-ahli lain termasuklah Undang Yang Empat dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Selain tokoh perasminya yang menarik dengan dialek dan pepatah negeri, ada beberapa catatan menarik lain dalam program ini.

1. Persembahan montaj dan pelancaran buku. Montajnya penuh dengan kesilapan ejaan Jawi. Saya kira kesilapan tersebut tidak disengajakan. Puncanya, tiada latihan sebelum perasmian. Kes-kes seperti ini sering kali berlaku. Perisian Jawi dalam komputer riba tidak selaras dengan milik urus setia atau pihak hotel.

2. Kehadiran peserta. Mujur majlis perasmian, tetamu yang datang agak mewah. menjelang tengah hari, dewan sudah miskin dengan peserta. Tambah membebankan lagi tentunya bayaran RM400 yang dikenakan kepada peserta perseorangan, menyusutkan lagi jumlah. Yang tidak menjadi peserta berpusu-pusu pulang setelah kenyang.

3. Jawi dan Pembentangan Selari. Sudahlah Jawi ramai yang tidak peduli. Lebih menakjubkan, program Jawi seperti ini dibuat pembentangan selari. Maknanya, satu masa tiga sesi pembentangan serentak untuk memungkinkan 50 kertas kerja disampaikan. Maka Kuantiti melebihi kualiti.