SENI JAWI NUSANTARA

Seni Jawi Nusantara

Syarat dan Peraturan

1. Terbuka kepada pelajar sekolah menengah
2. Terbahagi kepada 2 kategori :
a. A (13-15 Tahun)
b. B (16-17 Tahun)
3. Penyertaan secara individu
4. Tulis lirik lagu Negaraku dalam tulisan jawi dan hias mengikut kreativiti
5. Media tulisan – terbuka
6. Media hiasan – warna air (water colour) atas kertas, setiap ruang harus dihias penuh
7. Jenis dan saiz kertas – drawing block berukuran 37.5cm x 27cm
8. Karya haruslah asli, dihasilkan dengan tangan dan penggunaan komputer tidak dibenarkan
9. Gam borang penyertaan dbelakang kertas tulisan
10. Hasil karya tidak boleh dibingkaikan
11. Hasil karya akan menjadi hakmilik penganjur termasuk hakcipta untuk reproduksi dalam berbagai bentuk dan cara untuk pelbagai tujuan

Kriteria Penghakiman

1. Penghakiman berdasarkan ejaan, tulisan, hiasan, keunikan dan kreativiti
2. Penyertaan yang tidak menepati syarat serta format penghantaran tidak layak untuk dinilai
3. Keputusan hakim adalah muktamad

PERTANDINGAN ESEI JAWI 2013

Pertandingan Menulis Esei Jawi 2013

Objektif pertandingan antaranya ialah untuk menggemilangkan dan memperkasakan kembali penggunaan tulisan Jawi sebagai seni warisan budaya bangsa. Selain itu, memupuk minat dan kecintaan ke arah penyemarakkan tulisan Jawi dan menggalakkan generasi muda untuk menguasai tulisan Jawi agar terus menjadi lambang ketamadunan dan keperibadian bangsa Melayu. Berikut disenaraikan tajuk esei mengikut kategori.

Tajuk Pertandingan Esei Jawi 2013
Tajuk Pertandingan Esei Jawi 2013

5 RESOLUSI MEMARTABATKAN JAWI

Utusan Melayu Mingguan, 11 Mac 2013
Utusan Melayu Mingguan, 11 Mac 2013

LIMA resolusi memartabatkan Jawi ini dikemukakan oleh Munsyi Dewan (Jawi) sempena Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) pada 26-28 Februari 2013 di Hotel De Palma, Shah Alam.

  1. Mewujudkan jawatankuasa Munsyi Dewan (Jawi) yang akan menggerakkan segala aktiviti yang berkaitan dengan Jawi secara berterusan.
  2. Menyediakan modul standard pengkaedahan Jawi untuk kegunaan para munsyi.
  3. Menyediakan modul standard khusus untuk orang awam yang terdiri daripada Peringkat Asas, Peringkat Pertengahan dan Peringkat Lanjutan.
  4. Mengadakan Kursus Pembinaan Munsyi untuk melahir, melantik dan melatih lebih ramai para Munsyi Dewan (Jawi)
  5. Memberi pendedahan kepada para munsyi tentang Kamus Daftar Ejaan Jawi Edisi ke-3 (yang akan diterbitkan oleh DBP).

 

BENGKEL PEMBELAJARAN JAWI 2013

Semarak Jawi

UNTUK MAKLUMAN sahabat-sahabat, beberapa bengkel belajar Jawi yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pelbagai institusi sama ada pada peringkat asas, pertengahan dan lanjutan sedang diatur sepanjang tahun 2013 ini.

Tuan dan puan dijemput untuk mengikuti bengkel tersebut dengan mengemukakan hasrat itu melalui e-mel azman_a@dbp.gov.my. Tuan dan puan boleh maklumkan juga peringkat yang mahu diikuti sama ada asas, pertengahan dan lanjutan. Tarikh dan tempat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Semarak jawi, semarak di hati.

KOLEKSI AUDIO KLINIK JAWI

Rakaman Klinik Jawi

ALHAMDULILLAH, rakaman program Klinik Jawi di Radio IKIMfm yang bersiaran setiap hari Sabtu jam 10.00 pagi akhirnya boleh diulang dengar. Saya sendiri jarang berpeluang mendengar suara saya bersama DJ Suffian Amrin sementelah tiada ulangan dan tiada pula pautan ulang siarnya di laman sesawang IKIMfm sendiri. Dengan adanya audio Klinik Jawi, membantu menambah baik segala kekurangan. Ada kalanya rasa terkejar-kejar mengajar. Ada yang menegur terlalu laju, sukar nak dipandu. Oleh yang demikian itu, maaf atas segala kekurangan.

Terima kasih kepada Wak Mykrk atas usaha awal merakam sendiri setiap minggu, memuat naik audio dan semua nota Jawi di laman sesawangnya Arab Mykrk.com. Usaha yang memberi manfaat kepada masyarakat demi memartabatkan tulisan Jawi sangat-sangat dialu-alukan dan selayaknya ganjaran besar di sisi Tuhan. Bagi sahabat-sahabat yang menantikan buku rujukan Jawi, Insya-Allah Perpustakaan Negara Malaysia akan menerbitkan sebuah buku “Klinik Jawi” peringkat asas beserta CD untuk dimiliki oleh khalayak.

Terima kasih kepada Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan IKIM. Teruskan mengikuti Klinik Jawi di IKIMfm, setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi. Semarak Jawi Semarak Jati Diri.

PERTANDINGAN MENGARANG PANTUN JAWI 2012

TEMA “Tulisan Jawi Citra Keunggulan Budaya Melayu”  merupakan tema pertandingan mengarang pantun dalam tulisan Jawi yang julung-julung kali diadakan. Tahniah kepada pihak penganjur. Pantun-pantun yang ditampilkan nanti diharap dapat menggambarkan kehebatan dan keistimewaan tulisan Jawi yang menjadi warisan tamadun dan perabadan orang Melayu. Tuan-tuan dan puan-puan dijemput untuk menyertainya. Maklumat lanjut tentang pertandingan ini boleh layari laman sesawang Perpustakaan Negara Malaysia.

 

5 SEBAB MATA PELAJARAN JAWI WAJAR DIWAJIBKAN

KELIMA-LIMA sebab mata pelajaran Jawi diwajibkan pada peringkat sekolah ini dipetik daripada rencana yang di tulis di Utusan Malaysia pada 18 Januari 2011 bertajuk, “Wajibkan pembelajaran jawi di sekolah – Kok Seong”. Lima sebab tersebut seperti yang berikut:

1. Memartabatkan kembali khazanah kebudayaan nasional itu.

2. Tulisan tersebut memiliki 1,001 keistimewaan dan kelebihan. (Pandangan Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong. Beliau juga berkata, ia perlu dikuasai bukan sahaja oleh orang Melayu)

3. Pelengkap kepada bahasa Melayu. Pengajaran bahasa atau sastera Melayu boleh dikatakan tidak lengkap jika tidak dimasukkan komponen tulisan Jawi.

4.  Terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa. (Saranan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah)

5. Tulisan jawi merupakan khazanah negara yang harus dipertahankan dan ia tidak sepatutnya ditakuti oleh golongan bukan Melayu.

“PUASA” YANG “BINASA”

KAEDAH mengeja Jawi bagi perkataan “BINASA” tidak sama dengan kaedah yang dipakai ketika mengeja perkataan “BIASA” atau “PUASA”. Cuba kita lihat bagaimana ejaan “PUASA” dalam Jawi:

1. Pua.sa = Kata Melayu Jati yang terdiri daripada dua suku kata. Kedua-duanya ialah suku kata terbuka berpola ..a/..a

2. Dalam ejaan Jawi, jika kedua-dua suku kata ialah suku kata terbuka berpola ..a/..a di hujung kata kemudian diikuti dengan konsonan terakhir termasuk dalam kumpulan 12 huruf (ba, ta, pa, sin, ga, nun, nya, ca, ya, kaf, jim dan mim.)

3. Huruf vokal a, pada suku kata terakhir itu digugurkan = pa.wau.alif.sin

4. Oleh sebab ejaan “PUASA” (pa.wau.alif.sin) berhomograf dengan ejaan “PUAS” (pa.wau.alif.sin) maka ejaan “PUASA” dikekalkan asal alifnya = pa.wau.alif.sin.alif 

Berasaskan kaedah tersebut, perkataan “BINASA” tidak sama dengan kaedah yang dipakai pada perkataan “PUASA” kerana perkataan “BINASA” tidak berhomograf dengan kata “BINAS”. Wujudkah kata “BINAS” dalam kamus Melayu kita? – Klinik Jawi.

KLINIK JAWI – MARI MENDENGAR DENGAN HATI

BERMULA Jun 2012 yang lalu hingga 25 Ogos 2012, sesi pertama Klinik Jawi di Radio IKIMfm, setiap Sabtu jam 10.00 pagi itu kini sudah berakhir. Dalam tempoh 15 minit bersiaran dengan 13 siri (13 siri x15 minit) perbincangan lebih menjurus kepada tajuk-tajuk santai tentang asas Jawi merangkumi huruf, bentuk dan angka. Insya-Allah, siri kedua, Kinik Jawi akan disambung kembali dengan 13 siri berikutnya dan dijayakan dengan tajuk-tajuk baharu yang lebih interaktif dan mengujakan bersama-sama rakan belajar DJ Suffian Amrin.

Cabaran mengajar Jawi melalui radio berwahanakan deria telinga semata-mata tidak sama seperti mengajar Jawi dengan pendengar di hadapan mata. Bak mengajar si buta membaca! Alhamdulillah, reaksi positif sesudah program 15 minit itu berlangsung setiap minggu dan sesi interaktif bersama-sama pemanggil melalui siaran langsung membuktikan program ini mampu diikuti oleh pendengar. Terima kasih kepada Perpustakaan Negara terutama Bahagian Manuskrip, PNM yang membantu para pendengar melalui nota yang boleh dimuat naik di sesawang PNM sendiri di www.pnm.gov.my. Wah, kami sendiri tidak percaya, program ini mampu direalisasikan!

Sungguh, apa sahaja wahananya baik melalui radio, atau langsung di hadapan khalayak, saya percaya keikhlasan hati memberi sangat penting. Mari sama-sama kita terus belajar. Bukakan telinga kalian dan lapangkan hati, kami akan berikan sekeping hati yang ikhlas itu demi menyemarakkan tulisan Jawi agar kekal di hati sanubari kekal terpateri. Saya percaya, belajar dengan hati bukan sahaja mencerahkan akal, bahkan menambah ganjaran pahala yang sering kita buru. Terus menyokong Klinik Jawi dan salam Aidilfitri.

ESEI JAWI 1 MALAYSIA

Pertandingan Menulis Esei Jawi 1 Malaysia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dibahagikan kepada 3 Kategori Pertandingan.  A :    ( Terbuka ) berumur 19 – 35 tahun, kategori B  :    Pelajar Sekolah Menengah berumur 16 – 18 tahun dan kategori C :    ( Terbuka ) bukan Melayu berumur 16 – 35 tahun. Tajuk-tajuk esei dan borang pertandingan boleh diperoleh di Laman web resmi : http://www.jkkn.gov.my

Esei hendaklah dihantar bersama borang penyertaan SEBELUM ATAU PADA 31 OGOS 2012 kepada :-

Urus Setia
Pertandingan Menulis Esei Jawi 1Malaysia
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tingkat 4, Blok F
Kompleks Kerajaan Bukit Perdana
Jalan Dato’ Onn
50610 Kuala Lumpur

( u.p : Bahagian Pengembangan Seni )

 
No. Tel. :  03 – 2614 8200          Faks :  03 – 2697 0891
Email: rahmat@jkkn.gov.my