WACANA TULISAN JAWI 2014

Wacana_Tulisan_Jawi

Dengan sukacitanya, Dewan Bahasa dan Pustaka menjemput tuan-tuan dan puan-puan ke Wacana Tulisan Jawi pada 27 Februari 2014, jam 8.30 pagi – 1.00 petang bertempat di Dewan Seminar, Dato’ Hassan Ahmad, Aras 2, Menara DBP

Objektif
i) Menyelesaikan isu-isu ejaan Jawi semasa dan kekeliruan yang timbul.

ii) Memberi penjelasan kepada Munsyi Dewan (Jawi), pegawai pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri, jabatan agama, guru-guru dan pensyarah tentang perbandingan Sistem Ejaan Jawi Za’ba dengan Ejaan Jawi yang Disempurnakan dan pentingnya membina modul Ejaan Jawi yang standard.

iii) Mendapatkan buah fikir daripada pakar dan maklum balas tentang modul ejaan Jawi yang sesuai agar dapat membantu dalam memantapkan pengajaran dan pembelajaran Jawi dengan lebih berkesan.

Tokoh Pembentang
1. Prof. Emeritus Dato’ Ishak Haron (UM)
Standard Kurikulum Jawi Kebangsaan

2. Hajah Nor Azza binti Ibrahim (KPM)
Jawi dalam Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

3. Tuan Haji Hamdan bin Abd. Rahman (Pakar Rujuk Jawi)
Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan

4. Prof. Madya Dr. Adi Yasran (UPM)
Standard Kurikulum Jawi, Pengalaman di Universiti Putra Malaysia

Oleh sebab penyertaan terhad, mohon jasa baik tuan mengesahkan kehadiran menerusi e-mel saya, azman_a@dbp.gov.my atau menerusi talian 03 2147 9250.

– Kredit tulisan khat kepada khattat Muhammad Firdaus Mahdi

Advertisements

PERSIDANGAN KEBANGSAAN TULISAN JAWI KE-2

Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi Kali Kedua 5-6 Disember 2011 ini hasil kerjasama, UPSI dan PNM.  Temanya  ialah “Identiti Seni Khat Melayu”. Tema ini dipilih kerana keperluan terhadap pengkajian tentang identiti seni khat yang melambangkan khat Melayu dengan membandingkan seni khat dari Mesir, khat Thuluth; khat Diwani Jali dari Turki ; khat Syekasteh, Ta’liq dan Nasta’liq dari Iran dan khat Sini dari China.

Selain itu, isu-isu kotemporari tentang cabaran mempertahankan masa depan tulisan Jawi menjadi isu utama untuk diperbincangkan terutama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Jawi/khat di sekolah rendah, sekolah menegah, sekolah agama swasta, di universiti, dalam media massa dan perkembangannya dalam teknologi.

Sayangnya, saat tulisan Jawi sudah tidak ‘dipedulikan’ orang, peserta persidangan pula dikenakan bayaran yang agak lumayan. Bayangkan RM100 pelajar, RM150 dewasa dan RM125 seorang bagi pendaftaran 4 orang berkumpulan dan ke atas.  Seolah-olah, tulisan Jawi diangkat terlalu tinggi untuk golongan bangsawan. Akhirnya dewan persidangan akan menjadi kosong. Hanya sekerat dua sahaja yang menjadi pendengar (Seperti persidangan yang terdahulu) sedangkan rakyat, para  pengamal Jawi/khat semakin terus jauh terpinggir. – Klinik Jawi

KURSUS JAWI DI PNM

19-21 September 2011 Doktor Jawi akan berada di Perpustakaan Negara Malaysia selama tiga hari. Di sana nanti akan berlangsung “Kursus Kemahiran Ejaan Jawi’ . Peserta-peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Perpustakaan Negara Malaysia sendiri, pustakawan dan orang awam seluruh Malaysia. Selamat belajar. Moga bersemaraklah Jawi!

SETELAH USAI DI ILIM

SETELAH tiga hari berkursus, banyak kerja yang harus dilakukan oleh para peserta agar semua ilmu Jawi  yang dipelajari kekal di hati, terutama bagi yang langsung tidak terlibat dengan ‘tugas-tugas’ Jawi di tempat kerja. Nasihat saya, jadikanlah akhbar Utusan Melayu Mingguan sebagai bahan bacaan. Akhbar yang terbit seminggu sekali itu tidak harus dikesampingkan. Bagi guru-guru, ilmu yang lekat di hati jangan terpendam begitu sahaja. Praktikkan dan kongsikan dengan rakan-rakan. Jangan takut untuk berhujah. Bagi pentadbir, sudah tiba masanya ilmu Jawi disebarluaskan kepada pengamal Jawi yang lain. Usai kursus saya mendapat khidmat pesanan ringkas daripada Khalil dari Yan, Kedah.

Salam Ustaz, Terima kasih atas tunjuk ajar ustaz sepanjang tiga hari ini. Insya-Allah saya akan sampaikan kepada orang lain. – Khalil

Membaca pesanan Khalil, sejuk perut saya yang ‘mengendungkan’ ilmu Jawi selama ini. Lagipun ini satu-satunya kumpulan yang peserta lelakinya mendapat hadiah novel daripada saya tanpa melalui ‘wild card’. Saya balas, “Tiada yang lebih gembira bagi seorang guru, melainkan ilmu yang diberi, diamalkan. – Doktor Jawi

JAWI DI ILIM

ESOK, 22-24 Mac 2011 saya di Institut Latihan Islam Malaysia lagi. Entah kali ke berapa. Rasa-rasanya sudah lebih daripada lima kali. Setiap tahun ada sahaja program Jawi yang diuruskan oleh Pusat Bahasa, ILIM. Tahniah kepada penyelaras kursusnya, Ustaz Mat Yusof bin Abd. Rahman tidak pernah serik menjemput. Sentiasa yakin bahawa tulisan Jawi masih ada tempat di hati kita.

Kali ini kursus Pengkaedahan Jawi khusus untuk pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam dari seluruh Malaysia. Selamat ‘berjawi’ – al-Kurauwi

MENGUJI TANDA SAYANG


SAYA jarang mahu menguji orang kerana saya sendiri tidak suka diuji. Tetapi kalau tiada langsung ujian, dunia terasa sepi. Kalau mahu mengujipun jangan sampai dikeji orang. Menguji sekadar sekadar mengasihi. Tuhanpun tidak sekali-kali menguji hamba-Nya diluar kemampuan bahu memikul. Tuhan menguji tanda cinta.

Gambar ialah kumpulan guru-guru JAWI – KAFA sempena Bengkel Kemahiran Ejaan Jawi Baharu 17-18 Mac 2011 di Masjid Wilayah Kuala Lumpur. Mereka kelompok anak murid saya yang ke-4 pada tahun ini. Kepala menunduk, akal sibuk tangan pantas menjawab ujian tara terakhir 48 soalan mengenai ejaan Jawi. Inilah kali pertama mereka diuji dengan ujian yang luar biasa. Sebelum ini, kumpulan yang lain juga, hanya diberi ujian yang biasa-biasa sahaja.  Terima kasih kerana sudi diuji. Percayalah menguji itu tanda sayang. – al-Kurauwi