SURAT PEKELILING JAWI

BERTANYA dengan ramai guru-guru dan ‘pegawai kementerian’ yang menguruskan guru-guru tentang kewujudan surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1992. Pelbagai alasan yang mereka berikan. Ada juga yang buat lawak bodoh. Mungkin tidak tahu atau buat-buat tidak tahu.

Bagi yang baru nak tahu, surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1992 ini ialah mengenai penggunaan sepenuhnya Pedoman Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (PSEJYD) di semua sekolah rendah, sekolah menengah, maktab-maktab perguruan di dalam buku teks dan peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan Majilis Peperiksaan Malaysia.

Nah, selepas ini jangan ditanya lagi; “Mana surat arahannya?”, Jangan pula memberi alasan, “Oh, kami ada sistem ejaan khusus yang telah digubal sendiri.”

Atau mengaku sahajalah, “Maaf, kami tidak tahu!” atau “Oh maaf, kami tidak patuh kerana ketika itu kami belum lahir!” – Doktor Jawi

Advertisements

CAHAYA BAHARU

BUKU “Cahaya Baharu, Penggal Kedua” dengan tag ‘Buku Bacaan Untuk Memimpin Belajar Membaca Jawi’, antara sekian banyak buku belajar Jawi pada zaman gemilang Jawi dahulu. Buku cetakan pertama pada tahun 1949 ini di tulis oleh Harun Aminurrashid. Buku ini dicetak dan diterbitkan oleh The Royal Press, 745 North Bridge Road, Singapura. Cuba perhatikan harapan tokoh sasterawan ini terhadap penerbitan buku bersejarah ini.

Untuk Perhatian

                 Dengan terbitnya cetakan yang kedua ini adalah bererti, Buku Cahaya Baharu penggal yang kedua telah menjadi sebuah buku pelajaran untuk membenteras buta huruf Jawi di kalangan masyarakat Melayu dapat sambutan dan terang sangat mudah dipelajari sebagai sambungan penggal yang pertama.

             Saya berharap pelajaran membaca Jawi ini akan hidup terus di dalam masyarakat bangsa Melayu kerana dengan adanya pelajaran huruf Jawi adalah memberi bantuan besar kepada jalan mempelajari kitab-kitab agama Islam yang banyak tertulis di dalam Jawi terutama membaca al-Quran kitab suci agama Islam yang dianut oleh seluruh umat Melayu itu.

HAR
Singapura
1 Julai 1951