SEMINAR JAWI SERANTAU 2012

Advertisements

BELAJAR JAWI DI RADIO

SAYA sering ditanya: Tiada usahakah membawa Kinik Jawi ke corong radio atau kaca televisyen? Saya menjawab, jika ada, sayalah orang pertama yang akan sujud syukur.  Tidak termasuk program Mahir Jawi di TV9 yang sudahpun berakhir baru-baru ini, hanya tiga kali program pengajaran dan pembelajaran Jawi menemui penonton di kaca televisyen. Pertama, Belajar Tulisan Jawi yang pernah bersiaran pada 1976-1977 di saluran satu dan dua RTM.

Pada tahun 1995 barulah muncul sebuah lagi program lain iaitu Belajar Jawi. Itu pun setelah RTM mewujudkan Unit Agama dan Dakwah (UAD). Unit ini bertanggungjawab kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Jabatan Perdana Menteri bagi merancang penerbitan berteras agama.  Belajar Jawi disampaikan oleh Ustaz Margelan bin Haji Abdul Rahman manakala saudara Zaini Yuhyi pula dipilih sebagai pengacara program. Saya difahamkan ada program Pandai Jawi, yang disiarkan di TV1 oleh Muhammad @ Mukhtar Talib (Matlob) pada tahun 1996-1997.

Cuma belajar Jawi di radio, saya tiada rekodnya. Pada saya, belajar melalui gelombang bunyi, cabarannya lebih sukar daripada belajar Jawi di kaca televisyen. Melalui pendekatan radio, suara sahaja kedengaran, muridnya tidak kelihatan.  Bagai mengajar Jawi kepada OKU penglihatan. Saya fikir ia tidak mustahil direalisasikan. Bagus jika ‘dilangsungkan’ dan ada kebaikan juga dibuat secara rakaman. Saya membayangkan belajar Jawi tentunya lebih mudah daripada belajar bahasa Arab di radio.

Saya ingin bertanya kepada anda: pembaca dan pendengar nanti. Jika klinik Jawi mahu di bawa ke radio, apakah pendekatan, kaedah atau elemen-elemen yang sesuai dan mampu menarik pendengar melekat di corong radio?  Boleh kongsikan? – Doktor Jawi